“Pokcik kalau make ore jah duk wi sokmo”

Kota Bharu- Semenjak semalam tular satu video di aplikasi Tiktok memaparkan seorang warga emas yang kelihatan sudah uzur bersama becanya di sekitar kawasan Hospital Besar Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Kelantan.

Mendekati warga emas ini dengan lebih dekat bagi melihat sendiri keadaannya adalah satu perasaan yang mampu meruntun jiwa. Keadaannya yang uzur dan becanya juga usang membuatkan hati sesiapa sahaja yang melihat situasinya itu pasti tersentuh, kerana keadaan dan kesusahan yang dilaluinya.

Membahasakan dirinya sebagai Pakcik Nor dan usianya sekitar lingkungan- 70 tahun itu memberitahu, bahawa dia sudah lama tinggal di dalam beca tersebut, dan kira-kira sudah 30 tahun dia hidup sendiri bersama becanya itu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah antara gambaran yang dapat diberikan bagi menggambarkan keadaan warga emas ini. Di usia yang kian senja itu juga, Pakcik Nor mengalami masalah pendengaran yang agak teruk, sehingga terpaksa menggunakan suara yang agak kuat untuk berkomunikasi dengannya.

“Pokcik kalau nak make ore jah duk wi sokmo” itulah yang diberitahu oleh Pakcik Nor ini ketika wartawan kami bertanyakan bagaimana dia membeli makanan dalam kudratnya yang tidak segagah dulu. Selain itu juga, Pakcik Nor memaklumkan bahawa dia mempunyai 3 orang anak perempuan namun sudah lama dia tidak bersua dengan anak-anaknya itu.

Menurut sumber juga, Pakcik Nor pernah menerima bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Kelantan dan untuk dijaga rapi oleh pihak yang lebih arif. Namun, dia menolak dan lebih memilih untuk tinggal di dalam beca tersebut.

Bagi orang ramai yang ingin memberi bantuan kepada Pakcik Nor ini, boleh secara terus memberi bantuan kepadanya. Kerana pada kebiasaanya dia berada di sekitar kawasan Hospital Besar Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Kelantan atau di kawasan bandar Kota Bharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
error: Content is protected !!