Vaksin di rumah selepas proses vaksinasi di PPV selesai – Pengarah JKNK

KOTA BHARU – Menjelang September atau Oktober ini, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dijangka akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 dari rumah ke rumah.

Kaedah dari rumah ke rumah itu dicadang akan bermula setelah selesai proses vaksinasi melalui pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan PPV sementara sedia ada termasuk program Outreach, kata Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin.

“Sekiranya, ia (Program Outreach) dapat diselesaikan dengan cepat kita akan memulakan pemberian vaksin dari rumah ke rumah untuk Orang Kurang Upaya (OKU), terlantar dan sebagainya menjelang September atau Oktober nanti jika tiada masalah bekalan vaksin,” kata Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi pada hari Isnin.

Beliau mengulas laporan berita mengenai bekas atlet negara yang diusung anggota bomba ke PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin serta tular di media sosial dan menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet mengenai tindakan pihak berkaitan yang tidak mengatur pemberian vaksin di rumah bekas atlet terbabit.

Pemberian vaksin dari rumah ke rumah akan melibatkan jumlah petugas yang banyak membabitkan jururawat, pemandu dan lain-lain untuk ke setiap rumah, ulas Dr Zaini lagi.
Di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kelantan, dilaporkan bahawa kini seramai 145,447 individu telah menerima dos pertama vaksin masing-masing manakala 64,943 sudah selesai dos kedua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top